Auto Added by WPeMatico

GEORGE TOWN – Latihan memanah yang dikendalikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Residensi di sini ditangguhkan serta-merta berikutan insiden anak panah tersasar dan mengenai sebuah kereta orang awam di Jalan Macalister, 13 Ogos lalu.
MSN mengesahkan kejadian berkenaan berpunca daripada lepasan anak panah seorang atlet program pembangunan SUKMA yang menjalani latihan bersama Persatuan Memanah Negeri Pulau Pinang di sekolah berkenaan.
Menurut MSN, hasil siasatan mendapati insiden berkenaan berlaku akibat kegagalan teknikal pada peralatan memanah atlet terbabit sehingga menyebabkan anak panah bergerak melepasi jarak sasaran asal.
”Ia merupakan kemalangan tidak disengajakan, di luar kawalan serta tidak terduga berlaku melepasi zon jarak keselamatan yang ditetapkan selaras dengan piawaian badan induk memanah antarabangsa, World Archery.
”Kejadian ini adalah yang pertama kali berlaku sejak latihan memanah berprestasi tinggi dijalankan di padang sekolah berkenaan sejak tahun 2009,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga tempatan berusia 57 tahun berdepan detik cemas apabila keretanya tiba-tiba terkena sebatang anak panah ketika melalui Jalan Macalister di sini, baru-baru ini. -KOSMO! ONLINE
The post Latihan memanah ditangguh serta-merta – MSN appeared first on Kosmo Digital.