Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Seramai 10 warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran ditahan dalam Ops Gasak Siri 3/2025 di sekitar Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Rakyat, Brickfields, di sini baru-baru ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur (JIMKL) bagi tujuan dokumentasi dan rekod.
“Hasil operasi mendapati tujuh premis dikendalikan warga asing telah ditutup di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Selain itu, sebanyak 20 notis kompaun dikeluarkan manakala 16 tindakan pindah halangan turut dibuat terhadap barangan perniagaan yang diletakkan di kawasan awam,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurutnya, operasi bersepadu itu dilaksanakan DBKL bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Sementara itu, KPDN turut mengeluarkan tiga kompaun kesalahan penandaan harga serta dua kompaun lain berkaitan alat timbang sukat.
“Sebanyak 121 item minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak dibayar duti cukai dan diseludup masuk ke negara ini turut dirampas pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya melalui pautan https://adukl.dbkl.gov.my/. – KOSMO! ONLINE
The post Ops Gasak: 10 warga asing ‘kantoi’ berniaga haram appeared first on Kosmo Digital.