Auto Added by WPeMatico

PASIR PUTEH – Jadual kerja Eda Ezrin sudah penuh sehingga hujung September ini apabila penyanyi lagu Bae Sobar Bae itu banyak menerima pelbagai tawaran yang memberi peluang kepadanya untuk kembali semula ke dunia seni.
Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, secara rasminya mengumumkan kembali ke dunia seni bermula semalam apabila menerima undangan penggambaran video di Pantai Bisikan Bayu di sini.
Eda Ezrin berkata, buat masa ini, dia menerima tawaran membuat ulasan produk kecantikan, restoran, kedai makanan dan rakaman lagu-lagu yang akan dimuat naik menerusi platform YouTube.
“Saya lebih selesa bergerak di belakang tabir dan belum bersedia membuat penampilan di atas pentas bagi tujuan persembahan.
“Buat masa ini, saya masih belum mempunyai keyakinan. Saya juga mahu memberikan tumpuan kepada membina semula kerjaya seni,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penggambaran video di Pantai Bisikan Bayu di sini semalam.
Mengulas lanjut, Eda Ezrin sangat bersyukur apabila dia bersama suami dan empat lagi rakan dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Narathiwat, Thailand atas pertuduhan memiliki dadah.
Katanya, pembebasan itu secara tidak langsung membersihkan semula namanya dan suami daripada tuduhan tersebut.
“Rata-rata peminat mahu saya terus melangkah ke hadapan dan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk bangkit semula dalam hidup dan kerjaya seni,” ujarnya.
Eda Ezrin memberitahu, dia menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga buat seluruh peminat yang terus memberikan sokongan kepada perjalanan kerjanya seninya sepanjang berdepan dengan ujian berat sembilan bulan lalu.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dibebaskan sepenuhnya daripada tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat pada 6 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Jadual seni penuh hingga hujung September – Eda Ezrin appeared first on Kosmo Digital.