Auto Added by WPeMatico

MANCHESTER – Karier pemain tengah Manchester City, Jack Grealish semakin suram apabila namanya digugurkan untuk kempen Piala Dunia Kelab 2025 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat bermula 15 Jun ini.
Grealish yang dibeli dengan nilai £100 juta (RM574.29 juta) dari Aston Villa pada 2021, tidak lagi menjadi keutamaan apabila City hanya mendaftar 27 nama daripada maksimum 35 pemain ke kejohanan itu, termasuk Kyle Walker yang juga terbuang.
Bintang England berusia 29 tahun itu hanya membuat tujuh permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kempen 2024/25 selain tidak dipanggil dari bangku simpanan dalam final Piala FA ketika City tewas 0-1 kepada Crystal Palace sebelum ini.
Penyingkirannya menjadi lebih mengejutkan apabila keempat-empat pemain baharu yang menyertai City minggu ini seperti Rayan Ait-Nouri, Rayan Cherki, Tijani Reijnders dan Marcus Bettinelli semuanya disenaraikan.
Pemenang Ballon d’Or iaitu Rodri turut tersenarai dalam skuad selepas pulih daripada kecederaan lutut serius yang dialaminya sepanjang musim ini.
Grealish yang masih mempunyai dua tahun kontrak dan menerima gaji sekitar £300,000 (RM1.72 juta) seminggu, kini berdepan laluan sukar mencari kelab baharu kerana nilai tinggi tersebut sukar ditanggung kelab lain.
Walker, 35, juga menerima nasib malang selepas menghabiskan separuh musim lalu secara pinjaman di AC Milan, tetapi tidak dibeli secara kekal oleh gergasi Itali itu.
City akan membuka kempen Piala Dunia Kelab menentang wakil Maghribi, Wydad Casablanca di Philadelphia pada Rabu ini sebelum meneruskan aksi peringkat kumpulan menentang Al Ain dari Emiriyah Arab Bersatu dan jaguh Itali, Juventus. – AGENSI
The post Piala Dunia Kelab: City buang Grealish appeared first on Kosmo Digital.