Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Sempena sambutan Hari Malaysia 2025, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa siri ‘GM’.
JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bidaan nombor ‘GM’ dibuka bermula esok, 16 September sehingga 20 September ini.
Menurutnya, keputusan bidaan akan diumumkan dalam tempoh 24 jam iaitu pada 21 September.
“Harga bidaan minimum ditetapkan bermula RM300 bagi kategori nombor biasa (Running), RM500 untuk nombor popular, RM2,500 (Menarik), RM5,000 (Premium) dan RM20,000 bagi nombor bernilai utama (Golden).
“Siri nombor GM yang membawa maksud ‘Gemilang Malaysia’ bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara bersempena bulan kemerdekaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida wajib didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan selepas keputusan rasmi dikeluarkan.
Dalam masa sama, pembida yang berjaya memperoleh nombor pendaftaran siri ‘GM’ turut bakal menerima dua keping tiket Festival Super GT Malaysia 2026. – KOSMO! ONLINE.
The post JPJ tawar bidaan nombor pendaftaran GM appeared first on Kosmo Digital.