Auto Added by WPeMatico

![]()
BEREGU campuran remaja negara, Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah Ramdan menepati ramalan apabila membawa pulang gelaran Kejohanan Badminton Siri Antarabangsa (IS) Vietnam.
Pada perlawanan akhir berlangsung di Gimnasium Bac Giang semalam, pilihan kedua itu membenam beregu Thailand, Surasit Ariyabaraneekul-Atitaya Povanon 21-13, 14-21, 21-16 dalam tempoh 45 minit.
Walaupun diheret hingga ke set penentuan, namun Ziheng-Noraqilah menunjukkan semangat juang cukup tinggi apabila mempamerkan aksi terbaik bagi membawa pulang hadiah wang tunai AS$450 (RM1,888).
Jurulatih beregu campuran negara, Hazwan Jamaluddin gembira dengan aksi dipamerkan anak-anak buahnya walaupun masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki menjelang kejohanan akan datang.
“Bagi saya, mereka bermain sangat bagus sejak dari awal lagi di Vietnam, bermula pusingan pertama hingga final. Bagaimanapun, kadang-kadang itu ada sedikit hilang fokus selain kurang sabar dalam permainan.
“Saya lihat mereka seperti kurang sabar untuk mematikan bola tetapi mereka mampu untuk kembali bangkit. Permainan mereka memang konsisten, cuma masih ada banyak yang tersangkut hari ini (kelmarin),” katanya.
Lebih manis, gelaran itu merupakan kejuaraan sulung buat Ziheng-Noraqilah di pentas senior selepas mereka mula digandingkan Disember tahun lalu.
Sementara itu, Hazwan menganggap kedua-dua anak buahnya masih perlu memperbaiki beberapa kekurangan dalam permainan mereka bagi memastikan aksi lebih baik setiap kali masuk ke dalam gelanggang.
“Noraqilah perlu lebih konsisten ketika berada di hadapan gelanggang bagi memudahkan tugas Ziheng. Dalam pada itu, Ziheng juga perlu menambah lebih kekuatan pada bahagian tangannya,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE
The post Ziheng-Noraqilah sambar IS Vietnam appeared first on Kosmo Digital.