Auto Added by WPeMatico

SOFIA – Seorang pemilik kapal yang dikehendaki berhubung insiden letupan tahun 2020 di pelabuhan Beirut, Lubnan, yang mengorbankan lebih 220 orang telah ditangkap di Bulgaria.
Igor Grechushkin adalah salah seorang daripada tiga orang yang dikehendaki Interpol dan dikaitkan dengan penghantaran ammonium nitrat yang meletup di pelabuhan.
Insiden itu mencederakan lebih 6,500 orang dan memusnahkan sebahagian besar ibu kota Lubnan.
Bencana 4 Ogos 2020 itu merupakan salah satu letupan bukan nuklear terbesar di dunia.
Pihak berkuasa Beirut mengenal pasti Grechushkin, warga Rusia-Cyprus berusia 48 tahun, sebagai pemilik Rhosus iaitu kapal yang mengangkut ammonium nitrat.
“Dia telah diletakkan dalam tahanan untuk tempoh maksimum 40 hari oleh keputusan mahkamah pada 7 September, disahkan melalui rayuan,” kata jurucakap mahkamah bandar Sofia kepada AFP.
Pihak berkuasa yang meminta ekstradisi mempunyai 40 hari untuk menghantar dokumen diperlukan untuk melaksanakan langkah sedemikian, mengikut undang-undang Bulgaria.
Grechushkin ditahan atas notis merah Interpol di lapangan terbang Sofia pada 5 September lalu sejurus ketibaannya dari Paphos di Cyprus, kata sumber kehakiman Bulgaria kepada AFP.
Rhosus, sebuah kapal kargo berbendera Moldova yang belayar dari Georgia dan menuju ke Mozambique, difahamkan telah membawa baja itu ke Beirut pada 2013.
Selepas ia tiba di Lubnan, Rhosus menghadapi ‘masalah teknikal’, manakala pegawai keselamatan berkata, ia telah disita selepas sebuah syarikat Lubnan memfailkan saman terhadap pemiliknya. – AFP
The post Pemilik kapal terlibat insiden letupan pelabuhan Beirut diberkas appeared first on Kosmo Digital.