Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkenalkan lima inisiatif progresif bagi memperkukuh hala tuju pembangunan sektor pertanian negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata insiatif tersebut bagi mewujudkan sistem makanan yang lebih mampan, moden dan berdaya saing.
Menurutnya, antara langkah utama yang diperkenalkan ialah usaha meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging tempatan bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan tidak terjejas oleh faktor luaran seperti perubahan pasaran global.
“Dalam masa sama, KPKM turut membangunkan Malaysian Food Composition Database (MyFCD) sebagai komponen penting dalam dasar keterjaminan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mohamad berkata, inisiatif seterusnya adalah mengurangkan kebergantungan import jagung bijian agar industri terus berkembang dengan kukuh.
Selain itu, beliau berkata, kementeriannya turut menjalin kerjasama strategik bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi memudahkan proses pensijilan dron pertanian.
Dalam usaha melindungi inovasi dan kepakaran tempatan, Mohamad Sabu berkata pihaknya bakal melaksanakan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) bagi melindungi inovasi benih dan teknologi tempatan.
Beliau berkata, semua inisiatif ini digerakkan bagi memastikan sektor pertanian negara kekal berdaya tahan, moden dan progresif demi menjamin masa depan makanan negara serta kesejahteraan rakyat. – KOSMO! ONLINE
The post KPKM perkenal lima inisiatif baharu perkukuh sektor pertanian negara appeared first on Kosmo Digital.