Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Pemandangan di beberapa kawasan di negeri ini diselubungi jerebu sejak awal pagi tadi.
Tiga kawasan yang terkesan bagaimanapun mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat pukul 12 tengah hari, Alor Gajah dan Bukit Rambai masing-masing merekodkan bacaan IPU 59, manakala Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan 54.
Menurut kenyataan dalam laman sesawang tersebut, bacaan IPU antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana dan berpotensi memberi kesan kepada golongan sensitif sekiranya terdedah dalam tempoh berpanjangan.
“Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, manakala 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 adalah berbahaya,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya, data IPU dikemas kini setiap jam melibatkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara bagi memantau tahap pencemaran udara semasa.
Orang ramai khususnya golongan berisiko dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh jerebu ini. – KOSMO! ONLINE
The post Melaka diselubungi jerebu sejak pagi appeared first on Kosmo Digital.
