Auto Added by WPeMatico

SIK – “Saya rasa gembira dan tak sabar nak daftar masuk IPG (Institut Pendidikan Guru) esok tetapi pada masa sama rasa takut dan berdebar juga.”
Demikian kata Muhammad Syahmi Azril Saidijamal, 18, yang kisahnya berdepan masalah kewangan untuk menyambung pengajian ke IPG Kampus Tuanku Bainun di Pulau Pinang disiarkan Kosmo! pada Jun lalu.
Menurutnya, segala persiapan telah siap dilakukan selepas menjawab persetujuan untuk menerima tawaran IPG bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
Katanya, yuran pendaftaran sebanyak RM630 juga telah dibuat sebaik menerima pelbagai bentuk bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru-guru dan orang ramai.
“Guru-guru turut bantu beli peralatan dan kelengkapan asrama, manakala Kelab Anak-Anak Sik pula menyediakan komputer riba untuk saya guna ketika belajar nanti.
“Saya amat menghargai sumbangan daripada orang ramai dan wang yang diberikan itu akan saya gunakan dengan sebaik-baiknya dan berjimat cermat sepanjang tempoh lima tahun belajar di sana,” katanya di sini hari ini.
Ujarnya, bapanya, Saidiljamal Abu Said, 43, akan menyewa kereta untuk menghantarnya ke IPG esok.
“Ibu saya, Nor Azlinda Ahmad, 38, serta dua adik Muhammad Syafiq Aiman, 13, dan Muhammad Syakir Aidil, 8, akan turut serta menghantar saya esok.
“Kami mungkin akan bergerak seawal pukul 4 pagi hari pendaftaran memandangkan jarak IPG itu agak jauh dari rumah dan bapa tidak begitu mahir memandu ke kawasan itu,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya rasa berdebar nak masuk IPG esok’ appeared first on Kosmo Digital.