Auto Added by WPeMatico

ROMPIN – Keadaan cuaca yang panas di daerah ini dilihat memberi kesan kepada pengunjung untuk mandi manda di sekitar Pantai Hiburan di sini.
Jika sebelum ini ramai pengunjung dilihat mengunjungi Pantai Hiburan di sini setiap hari Ahad untuk mandi manda namun berdasarkan tinjauan hari ini mendapati pengunjung adalah kurang.
Seorang pengunjung Amran Hashim, 37, berkata, dia yang datang ke pantai itu hari ini membatalkan hasrat untuk mandi manda memandangkan keadaan cuaca yang terlalu panas.
“Saya bersama anak-anak hari ini hanya bersantai di bawah pokok sambil makan dan minum kerana cuaca terlalu panas, dengan angin pantai pun bahang masih terasa.
“Saya risaukan kesan khususnya kepada anak-anak kecil apabila mandi pantai nanti, jadi kali ini kami tak jadi mandi,”katanya di sini hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meletakkan Maran dan Rompin di bawah kategori Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu suhu harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Keadaan panas kering ini dijangka berlarutan beberapa minggu lagi bergantung kepada perubahan angin monsun serta fenomena El Nino yang masih memberi kesan kepada Malaysia.
Dalam pada itu seorang penduduk Siti Norzaleha Abdul Rahman, 30, berkata, dia yang pulang ke kampung minggu ini tidak membawa anak-anak ke pantai seperti biasa memandangkan cuaca panas.
Katanya, bagi mengisi masa dan menyejukkkan badan dia memasang kolam plastik mudah alih di rumah untuk anak-anaknya mandi dan menyejukkan badan.
“Saya melihat Jabatan Metreologi menjangkakan daerah ini mengalami keadaan panas dan memang betul kerana bahang masih terasa ketika berada di rumah walaupun waktu petang.
“Jadi saya tidak mahu mengambil risiko membawa anak saya mandi dan bermain pantai di tengah panas bagi mengelakkan masalah kesihatan,”katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Batal hasrat mandi pantai hujung minggu, sediakan kolam mudah alih di rumah appeared first on Kosmo Digital.