Auto Added by WPeMatico

Bagi sesetengah orang, jalur kertas mungkin sekadar bahan biasa yang mudah dilipat atau dibuang.
Namun, di tangan Nik Norkatijah Mohd Razak, 35, helaian kertas mampu diubah menjadi karya seni yang bernilai menerusi seni paper quilling atau seni menggulung kertas.
Di sebalik setiap gulungan kertas yang tersusun kemas, tersimpan kesabaran, ketelitian dan kreativiti yang membentuk sebuah karya.
Lebih menarik, minat terhadap seni menggulung kertas itu pernah terhenti selama 12 tahun sebelum kembali dihidupkan semula dan menjadi sebahagian daripada perjalanan kreatifnya.
Anak kelahiran Kuala Besut, Terengganu itu berkata, minat terhadap seni berasaskan kertas mula bercambah sejak di bangku sekolah rendah apabila dia gemar menghasilkan nota dengan menggabungkan kertas yang berwarna-warni.
Katanya, kecenderungan terhadap dunia seni dan kraftangan turut dipengaruhi oleh ibunya, Engku Rafieah, yang pernah menghasilkan pelbagai kraftangan ketika usia muda.
“Saya memang suka dengan kertas sejak kecil. Saya rasa bakat kreatif ini datang daripada mak kerana dia juga pernah terlibat dalam bidang kraftangan,” katanya kepada Seri.
Walaupun meminati seni sejak kecil, Nik Norkatijah mula mencuba seni menggulung kertas ketika berada pada tahun ketiga pengajiannya di University of Yarmouk, Jordan.
Ketika cuti semester yang panjang dan tidak pulang ke Malaysia, dia mengambil peluang untuk meneroka hobi baharu itu dengan mempelajari teknik menggulung kertas secara sendiri menerusi YouTube.
“Saya mula mencari video tutorial di YouTube dan belajar sendiri. Saya tengok satu demi satu teknik, kemudian cuba praktikkan sehingga berjaya menghasilkan karya pertama,” katanya.

Belajar sendiri
Mengimbas kembali permulaannya dalam seni menggulung kertas, Nik Norkatijah berkata, karya pertama yang dihasilkannya ialah penanda buku bercorak bunga.
Walaupun rekaannya ringkas, hasil tersebut memberikan kepuasan yang sukar digambarkan kerana menjadi titik permulaan kepada minat yang terus berkembang sehingga hari ini.
“Saya sangat gembira dan teruja apabila berjaya menyiapkannya. Kawan-kawan pula memberi galakan supaya saya menjual penanda buku itu kepada pelajar lain,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan mempelajari seni tersebut bukanlah semudah yang disangka.
Pada peringkat awal, cabaran terbesar yang dihadapinya ialah menghasilkan gulungan kertas yang benar-benar kemas kerana perlu dibentuk dengan teliti sebelum disusun mengikut reka bentuk yang diinginkan.
Kemahiran itu tidak dapat dikuasai dalam masa yang singkat, sebaliknya memerlukan latihan yang berterusan.
“Untuk mendapatkan hasil yang kemas memang perlu banyak berlatih. Saya mengambil masa beberapa minggu untuk benar-benar memahami teknik asas menggulung kertas,” jelasnya.

Kembali berkarya selepas 12 tahun
Selepas menamatkan pengajiannya di Jordan pada tahun 2012, Nik Norkatijah pulang ke tanah air sebelum mendirikan rumah tangga dan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
Kira-kira 12 tahun selepas itu, minat terhadap seni menggulung kertas kembali berputik apabila dia melihat hasil karya penggiat seni menggulung kertas dari luar negara di media sosial.
Perkongsian video itu mendorongnya mengasah semula kemahiran yang pernah dipelajarinya ketika menuntut di Jordan.
“Daripada situ saya mula berlatih semula dan memuat naik hasil kerja sendiri. Tidak lama kemudian, ada rakan yang berminat membuat tempahan sebagai hadiah dan sejak itu tempahan datang tanpa henti,” katanya.
Kini, bingkai mas kahwin merupakan antara karya yang paling mendapat sambutan.
Kekemasan menjadi keutamaan
Bagi Nik Norkatijah, menghasilkan seni menggulung kertas memerlukan ketelitian dalam setiap proses.
Proses itu bermula dengan menyediakan lakaran reka bentuk dan menyunting ucapan mengikut tujuan penghasilan karya.
Seterusnya, warna serta jenis bunga dipilih sebelum jaluran kertas digulung, dibentuk dan disusun mengikut corak yang diinginkan.
Sebuah karya biasanya mengambil masa antara satu hingga dua hari untuk disiapkan, bergantung pada tahap kerumitan reka bentuk.
“Kekemasan adalah perkara paling penting dalam setiap hasil kerja saya. Selepas itu barulah susunan corak dan pemilihan warna,” jelasnya.
Bahagian paling mencabar ialah menghasilkan huruf atau inisial yang mempunyai banyak lekukan serta reka bentuk yang rumit kerana memerlukan ketelitian yang tinggi.
Jika hasil yang dihasilkan tidak menepati jangkaannya, dia tidak teragak-agak untuk memulakan semula keseluruhan proses dari awal.
“Saya lebih rela buat semula daripada menghasilkan sesuatu yang tidak memuaskan,” katanya.
Antara peralatan asas yang digunakan ialah gunting, gam, pisau pemotong kertas, pembaris, alat penggulung kertas (slotted tools quilling) dan penyepit.
Walaupun lebih gemar menghasilkan rekaan bertemakan bunga, kini dia turut menggabungkan elemen seperti kaligrafi dan potret dalam sesetengah hasil karyanya bagi menjadikan reka bentuknya lebih mencabar.
Idea untuk menghasilkan rekaan baharu pula banyak diperoleh daripada inspirasi yang kemudiannya diolah mengikut kesesuaian seni menggulung kertas.

Memberi ketenangan
Baginya, seni menggulung kertas bukan sekadar hobi atau sumber pendapatan sampingan, malah menjadi ruang untuk merehatkan fikiran setelah seharian menguruskan kerja rumah.
Dia biasanya meluangkan masa untuk menghasilkan karya pada waktu siang dan malam apabila mempunyai masa terluang.
Kepuasan terbesar yang dirasai bukan hanya apabila berjaya menyiapkan sebuah karya, tetapi apabila hasil tangannya dihargai dan menjadi sebahagian daripada detik bermakna dalam kehidupan seseorang.
“Saya rasa bangga sebab pengantin memilih bingkai gulungan kertas sebagai salah satu perkara penting yang akan dikenang sepanjang hayat,” katanya.
Walaupun sambutan terhadap hasil karyanya semakin menggalakkan, dia mengakui kekangan masa sebagai cabaran utama kerana perlu membahagikan masa antara keluarga dan minatnya.
Justeru, ada kalanya dia terpaksa menolak permintaan bagi memastikan setiap karya yang dihasilkan mengekalkan tahap kekemasan dan kualiti yang diinginkan.
Pada masa hadapan, Nik Norkatijah berharap dapat menganjurkan bengkel seni menggulung kertas untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.
Selain itu, dia juga berhasrat mengembangkan jenama NR3craft menerusi penghasilan produk berasaskan gulungan kertas seperti penanda buku, rantai kunci dan magnet peti sejuk.
Seni menggulung kertas membuktikan bahawa sesuatu yang kelihatan sederhana mampu mempunyai nilai yang besar apabila dihasilkan dengan penuh kesabaran dan ketelitian.
“Walaupun hanya sehelai kertas, jika diberi peluang, kepercayaan dan nafas baharu, ia mampu menjadi setanding emas dan permata,” katanya.
The post Sentuhan Nik ubah kertas jadi karya penuh makna appeared first on Utusan Malaysia.







