Auto Added by WPeMatico

BERA – Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ yang dikatakan dalam perjalanan menyertai program RXZ Member 7.0 di Terengganu maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar tebing jalan di Jalan Palong 8 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Mohd Syukri Shahrudin, 33, dalam perjalanan dari arah Rembau menghala ke Terengganu.
“Apabila sampai di tempat kejadian mangsa yang sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga telah bergerak lurus tanpa membelok lalu melanggar tebing di bahu jalan.
“Akibat kejadian mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan kiri dan kanan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Hospital Bera untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dengan permukaan jalan rata dan jalan kering.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian penunggang yang tidak dapat mengawal kenderaan yang dipandu,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post Peserta RXZ Member 7.0 maut terbabas appeared first on Kosmo Digital.