Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyeru kepada seluruh dunia Islam supaya terus kuat dalam mendepani kezaliman zionis Israel.
Beliau berkata, negara seharusnya membina seluruh kekuatan dalam mengukuhkan ekonomi, pertahanan dan perjuangan agama supaya tidak sesekali ditindas.
“Saya mewakili Malaysia memberi pandangan yang tegas pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar.
“Saya juga mewakili semangat pendekar silat Madani. Mewakili semua guru-guru silat yang ada menyatakan dunia Islam mesti kuat. Kuat dari negara kita, kuat ekonomi, kuat semangat roh Islam, kuat akhlak dan kuat pertahanan negara masing-masing.
“Dalam ucapan di depan raja-raja dan ketua-ketua negara Arab, negara Islam satu dunia. Saya katakan jangan kita akui, jangan kita ada hubungan diplomatik dengan Israel sama sekali dan jangan berdagang, jangan berkawan kepada negara zalim yang menindas rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 pesilat seluruh negara pada Himpunan Pendekar Madani di Politeknik Seberang Perai di sini, hari ini.
Semalam, Anwar menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, susulan serangan Israel terhadap Doha, baru-baru ini.
Sidang kemuncak itu turut dihadiri pemimpin negara-negara Islam termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Palestin, Mahmud Abbas dan Raja Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein. – KOSMO! ONLINE
The post Dunia Islam mesti kuat depani kezaliman – PM appeared first on Kosmo Digital.