Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Aktivis politik Che’gu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hidham Shahrin dipercayai ditahan polis di kediamannya, hari ini.
Peguam, Rafique Rashid berkata, penahanan pada pukul 2.30 petang itu dibuat susulan laporan polis terhadap Che’gu Bard berkaitan Himpunan Turun Anwar yang diadakan di Dataran Merdeka, di sini pada Sabtu lalu.
“Che’gu Bard sepatutnya dijadualkan untuk bertemu pegawai penyiasat pada pukul 11 pagi esok (Selasa).
“Oleh itu, tangkapan dalam kes ini tidak diperlukan kerana Che’gu Bard sentiasa memberi ‘aku janji’ untuk menghadirkan diri ke Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafique berkata, tindakan pihak berkuasa adalah amat dikesali lebih-lebih lagi apabila tiada sebarang insiden tidak diingini semasa atau selepas daripada Himpunan Turun Anwar.
Katanya, sebanyak empat kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Mohamed Jan dilaporkan berkata, pihaknya menerima empat laporan berkaitan Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu.
Menurutnya, satu kes di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) manakala tiga lagi dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).
Sebelum ini, pihak polis mengesan rakaman video menunjukkan satu patung mirip Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) disebat di perkarangan Masjid Negara. – KOSMO! ONLINE
The post Himpunan Turun Anwar: Che’gu Bard ditahan bantu siasatan appeared first on Kosmo Digital.