Auto Added by WPeMatico

LUMUT – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Latihan Tembakan Tepat Jarak Jauh High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS), Eksesais Keris Strike Siri 30/2025/Eksesais Lembing Sakti (ELS) di Segari, di sini hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mengiringi baginda ke latihan tersebut ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang turut menyaksikan demonstrasi ketenteraan bersama para jemputan kehormat.
“Keberangkatan Baginda Tuanku berdua ke latihan ini amat bermakna dan memberi suntikan semangat kepada seluruh anggota pasukan.
“Ia sekali gus menyerlahkan sokongan padu institusi diraja terhadap kesiapsiagaan dan kerjasama pertahanan serantau melalui penglibatan negara sahabat dalam menjamin kestabilan serta keselamatan strategik di rantau ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Eksesais Keris Strike Siri 30/2025 yang berlangsung di negeri ini bermula 17 Julai lalu hingga esok menyaksikan penglibatan lebih 4,000 anggota tentera dari Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Australia.
Ia bertujuan memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan keupayaan operasi bersama (interoperability) serta memantapkan hubungan ketenteraan di antara negara-negara yang terlibat. – KOSMO! ONLINE
The post Eksesais Lembing Sakti: Kehadiran Sultan Nazrin suntik semangat anggota tentera appeared first on Kosmo Digital.