Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Perbuatan khianat seorang lelaki merempuh sebuah kenderaan lain dengan sengaja sebanyak tiga kali di Jalan Tun Razak, di sini, kelmarin membawa padah apabila dia ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.10 petang ketika seorang lelaki berusia 63 tahun yang memandu Perodua Axia memperlahankan kenderaannya kerana terlepas simpang.
Suspek yang memandu Toyota Hilux ketika itu berada di belakang kemudian memotong kenderaan Perodua Axia secara agresif sebelum berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka.
“Suspek kemudian bertindak merempuh kenderaan mangsa secara mengundurkan kenderaannya sebanyak tiga kali sebelum cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, akibat kejadian itu, pemandu Perodua Axia mengalami kerugian sebanyak RM15,300 kerana kerosakan dialami terhadap kenderaannya.
“Semakan rekod dibuat mendapati suspek mempunyai tujuh kesalahan lampau bersabit kes jenayah. Bagaimanapun ujian urin mendapati dia negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Berang pandu perlahan, pemandu Hilux ‘hentam’ Axia appeared first on Kosmo Digital.