Auto Added by WPeMatico

ROMPIN – Seorang lelaki dan tunangnya maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Kilometer 147 Jalan Kuantan-Seremban di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu pemandu kereta jenis Proton Wira, Muhamad Nasri Sulaiman, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang kereta, Norafikaharanap Syarafudin meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, berdasarkan siasatan awal, semasa kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Bahau, Negeri Sembilan menghala ke Muadzam Shah di sini.
“Apabila tiba di tempat kejadian, semasa lori sedang bergerak lurus tiba-tiba sebuah kereta keluar daripada simpang empat Melati dan akibat jarak yang dekat lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta.
“Akibat kemalangan tersebut pemandu lori tidak mengalami apa-apa kecederaan manakala pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, penumpang kereta yang cedera parah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Muadzam Shah pada pukul 10.30 malam.
Menurut Sharif Shai, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya berdasarkan siasatan awal lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan rata dan kering dengan cuaca yang baik dan cerah.- KOSMO! ONLINE
The post Dua maut kereta dirempuh lori ketika keluar simpang appeared first on Kosmo Digital.