Auto Added by WPeMatico

![]()
LANGKAWI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti dipelihara serta tidak seharusnya diabaikan hanya kerana mahu membuat keputusan mengikut selera politik masing-masing.
Anwar berkata, peringatan itu diberikan kepada rakan-rakan baik daripada pembangkang, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan badan guaman.
“Harus ingat bahawa prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti dipelihara. Janganlah kerana kita tidak senang dengan satu dua kelompok, kita terus membuat keputusan ikut selera politik masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah di Kuah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merujuk keputusan pihak pendakwaan menarik balik rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atas 17 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal isytihar pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Katanya, keputusan itu dibuat mengikut lunas undang-undang, bukan kerana individu terlibat adalah penyokong, seteru mahupun disebabkan ugutan.
“Bila didakwa? 2018. Apakah proses berjalan? Ya. Apa kata hakim? Kes itu lemah. Tanya siapa Peguam Negara pada 2018, siapa Perdana Menteri? Kes itu terlalu lemah predikatnya, alasan AMLA itu sangat tidak berasas.
“Kalau hakim kata begitu dan Peguam Negara teliti semula, jadi dia ambil keputusan tidak merayu. Tetapi mengapa kes lain dia rayu? Itu kerana keputusan penghakiman itu memberi sedikit ruang.
“Kes ini seolah-olah membatalkan ruang itu. Apakah ini mematikan kes-kes lain? Kes lain berjalan seperti biasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kes Rosmah ikut lunas undang-undang, bukan kecenderungan politik appeared first on Kosmo Digital.