Auto Added by WPeMatico

BESUT – Sebahagian besar mangsa dan keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sama ada terkorban dan terselamat dalam nahas di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu didapati masih dalam keadaan trauma.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kesan trauma tersebut menyebabkan segelintir mereka takut untuk menaiki kenderaan terutama bas.
“Bukan sahaja mangsa (terselamat) sendiri, saya tengok keluarga pun sesetengahnya trauma terutama apabila hendak menaiki kenderaan.
“Kita turun padang untuk berjumpa dan bertanya sendiri (mangsa dan ahli keluarga terlibat) agar JKM boleh memainkan peranan,” katanya ditemui di Kampung Gong Kemuntong. Jerteh di sini hari ini.
Beliau menyantuni Nur Ain Najwa Mohd. Ilias, 23, merupakan salah seorang pelajar UPSI yang cedera dalam nahas di Gerik, Perak pada minggu lalu.
Noraini berkata, JKM akan memberi fokus untuk menceriakan semula mangsa dan ahli keluarga pelajar UPSI terjejas agar mereka dapat pulih menjalani kehidupan seharian seperti biasa.
Beliau berkata, seramai 20 kaunselor JKM telah bersiap sedia membantu untuk melegakan perasaan trauma tersebut.
“Ia tidak termasuk kaunselor dari institusi pengajian tinggi (IPT) dan hospital terdekat serta pusat sokongan sosial setempat (PSS) yang turut bersedia mendengar luahan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Noraini berkata, JKM juga sedang mengenalpasti sebahagian mangsa cedera yang berkemungkinan mengalami kecacatan kekal berikutan nahas terbabit bagi penyaluran bantuan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas UPSI: Mangsa, waris masih trauma appeared first on Kosmo Digital.