Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan semua pelajar Malaysia yang masih berada di Iran supaya segera meninggalkan negara itu susulan peningkatan konflik di rantau tersebut.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, seramai empat pelajar Malaysia dikenal pasti berada di Iran ketika ini dengan tiga daripada di Qom dan seorang di Isfahan.
“Kita telah kenal pasti empat orang pelajar. Dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN), mereka diminta mendaftar di kedutaan untuk proses evakuasi.
“Dari sudut keselamatan mereka (pelajar masih ada di Iran) perlu keluar segera dari Iran kerana kita tak mahu perkara tidak ingini berlaku dengan konflik semakin kritikal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan 25 Tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Dewan Tuanku Canselor di sini hari ini.
Menurut beliau, keluarga pelajar terlibat telah dimaklumkan dan pihak KLN akan menyelaras penerbangan pulang dalam masa terdekat.
Mustapha turut menggesa semua rakyat Malaysia yang masih berada di Iran agar segera meninggalkan negara itu demi keselamatan masing-masing.
Sebelum ini, KLN mengeluarkan arahan segera agar semua rakyat Malaysia di Iran meninggalkan negara tersebut ekoran situasi keselamatan yang semakin tidak menentu, susulan tindakan ketenteraan Israel terhadap Iran pada 13 Jun lalu. -KOSMO! ONLINE.
The post Pelajar Malaysia diarah tinggalkan Iran appeared first on Kosmo Digital.