Auto Added by WPeMatico

ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan syarat Perdana Menteri (PM) yang mesti berusia 70 tahun ke bawah tidak ditujukan kepada mana-mana individu.
Sebaliknya kata Abdul Hadi, ia bagi menggambarkan bahawa beliau dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sudah tidak layak menduduki jawatan itu.
“Saya jawab kepada pemberita yang umur 70 ke atas macam saya dan Mursyidul Am tak payah dah, cari yang bawah pada itu yang kuat dan gagah.
“Saya tuju ucapan ini pada saya, bukan pada orang yang lain sama ada yang hidup atau mati. Pilih siapa yang ada ilmu, kebijaksanaan dan kekuatan untuk memajukan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-71 di sini, hari ini.
Beliau memberi jaminan bahawa pemimpin yang akan memerintah negara adalah seorang yang beragama Islam dan Melayu, berdasarkan faktor agama itu yang merupakan aqidah tanah air dan bangsa yang mendominasi kaum di negara ini.
Sehubungan itu, beliau meminta calon yang tidak dipilih pada pemilihan Muktamar Pas Pusat pada tahun ini, memberi kesetiaan mereka kepada pemimpin yang dipilih.
Beliau turut mengingatkan masalah kesetiaan boleh menjejaskan peluang Pas untuk menang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan menyukarkan parti itu memimpin kerajaan. – KOSMO! ONLINE
The post Syarat PM usia 70 tahun tak tuju pada orang lain – Abdul Hadi appeared first on Kosmo Digital.