Auto Added by WPeMatico

SEPANG- Padah mencederakan pegawai kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu, seorang wanita warganegara China dihukum penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Khairatul Animah Jelani menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Fang Fu Yuan, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga ibu kepada dua anak itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang Pegawai Imigresen, Nurdiana Atirah Shapinaz Abdul Rahman semasa dia melaksanakan tugas rasminya sebagai seorang penjawat awam.
Kesalahan itu dilakukan di kaunter Imigresen, Aras 4, Balai Pelepasan KLIA Terminal 1 pada pukul 8 malam, 13 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu telah diminta oleh rakan sekerja yang bertugas di kaunter Imigresen untuk mengalihkan tertuduh dan tiga ahli keluarganya kerana didapati tidak mempunyai rekod kemasukan ke Malaysia, bagi memberi laluan kepada penumpang Bangladesh yang berada di belakang tertuduh.
Ketika diarahkan untuk ke tepi, tertuduh telah bertindak agresif dengan meninggikan suara, menarik tudung pengadu dan menolak muka serta kepala pengadu ke tiang di hadapan kaunter.
Akibat tindakan tertuduh itu, pengadu mengalami gegaran kepala, kecederaan di bahagian kiri muka, pedih bawah mata serta bengkak kemerahan. -KOSMO! ONLINE.
The post Cederakan pegawai Imigresen, wanita warga China dijel sebulan appeared first on Kosmo Digital.