Auto Added by WPeMatico

KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 16 tahun semasa berada di dalam sebuah kereta kira-kira empat bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang remaja berusia 16 tahun 10 bulan yang juga anak kandungnya apabila perhubungan tersebut tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengan remaja tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kereta di kawasan lorong di Jalan Pasir Mas- Salor di sini kira-kira pukul 4 pagi pada 31 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun sehingga 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan yang serius.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Buruh didakwa noda anak 16 tahun dalam kereta appeared first on Kosmo Digital.