Auto Added by WPeMatico

SEPANG – Sebuah syarikat dan dua pengarahnya masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan pelekat logo Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) palsu pada 107 tayar celup, Februari lalu.
Syarikat Yik Woh Tyre Enterprise Sdn Bhd yang diwakili pengarah, Yip Wei Leong, 44, dan Yip Wing Kee, 70, selaku Orang Kena Saman (OKS), bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan yang dibaca secara berasingan, kedua-dua OKS yang juga bapa dan anak selaku pengarah dan Syarikat Yik Woh Tyre Enterprise Sdn Bhd didakwa membuat representasi palsu dengan menggunakan pelekat logo MS 224:2005 pada 107 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz bagi tujuan pembekalan tanpa kelulusan oleh SIRIM selaku pihak berwibawa.
Kesalahan itu dilakukan di premis syarikat di Meranti Jaya Industrial Park, Puchong kira-kira pukul 11.30 pagi, 13 Februari lalu.
Berikutan itu, syarikat tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] kerana melanggar Seksyen 16(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 21 (a) akta yang sama, manakala Wei Leong dan Wing Kee selaku pengarah syarikat didakwa di bawah Seksyen 21 (b) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Hafizi Abdul Halim manakala, kedua-dua OKS diwakili peguam Aaron Chang.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin warganegara serta menetapkan 25 September depan untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE
The post Syarikat, dua pengarah didakwa guna pelekat logo SIRIM palsu pada tayar celup appeared first on Kosmo Digital.