Auto Added by WPeMatico

DISEMBER 2025 meninggalkan parut yang mendalam buat bintang drama Mask Girl, Nana, apabila ruang privasi yang dianggap sebagai tempat perlindungan paling selamat dicabuli tangan-tangan tidak diundang.
Kediaman peribadi bekas ahli kumpulan After School itu dipecah masuk seorang individu tidak dikenali ketika dia dan ibunya tiada di rumah.
Bukan sekadar barang kemas mewah dan jam tangan berjenama yang hilang, malah sebahagian daripada memori dan nilai sentimental keluarga turut dilarikan dalam kekacauan pencerobohan tersebut.
Tatkala pihak berkuasa berjaya menjejaki suspek berusia 30-an menerusi bukti sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan rakaman-rakaman litar tertutup (CCTV), satu lagi badai emosi melanda.
Pihak tertuduh mula menanam naratif palsu dengan mendakwa dirinya dijemput masuk sebagai sebuah helah licik untuk mengurangkan beban hukuman.
Namun, pemilik nama lengkap Im Jin-ah itu bukanlah wanita yang mudah tunduk pada manipulasi.
Menjelang prosiding perbicaraan pada April depan, Nana nekad melangkah ke mahkamah dengan satu tujuan iaitu menepis segala dusta.
Ibu adalah tulang belakang saya. Kami nekad untuk berdiri di kandang saksi bagi menyangkal segala penipuan tersebut.
“Saya tidak mahu lagi berdiam diri dan membiarkan pelaku terus bebas dengan naratif palsu mereka,” tegasnya.
Bagi wanita berusia 34 tahun itu, luka yang paling pedih bukanlah pada nilai kebendaan yang dirampas, tetapi pada pengkhianatan terhadap rasa aman yang selama ini dijaga rapi.
Apa yang paling menghiris hati bukanlah nilai barangan yang hilang, tetapi bagaimana kepercayaan dan privasi saya seolah-olah dirampas dengan begitu kejam,” kongsi Nana dalam satu temu bual eksklusif bersama media Korea Selatan.
Dia juga mengakui tempoh menunggu keadilan adalah satu perjalanan yang menguji ketahanan mental, terutamanya apabila terpaksa berhadapan dengan tuduhan palsu yang dilemparkan pihak lawan demi melepaskan diri.
Kehadiran Nana dan ibunya sebagai saksi utama dianggap untuk melawan naratif negatif dan bukan sekadar tentang menuntut kembali harta yang dicuri, tetapi sebuah perjuangan suci untuk membersihkan nama keluarga daripada spekulasi hubungan dengan pelaku.
Dia juga mahu menuntut keadilan melalui sistem perundangan yang telus dan mahu memberi pengajaran agar hak peribadi dan privasi individu tidak sewenang-wenangnya dicabuli.
Di sebalik gelora perasaan yang menyelubungi diri, Nana tidak berjalan sendirian.
Peminat dari serata dunia terus membina benteng kasih menerusi tanda pagar khusus, mendoakan agar urusan perbicaraan dipermudahkan dan kebenaran akhirnya terbit menyinari kegelapan trauma yang dialaminya.
