Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Keluarga murid tabika berusia enam tahun yang cedera selepas dilanggar van sekolah dinaikinya di sebuah taman perumahan, di sini, Isnin lalu akan mengambil tindakan undang-undang.
Ibu kanak-kanak berkenaan, Siti Zarina Abd Zarim, 39, berkata, ia bagi memberi pengajaran ke atas pelaku supaya lebih berhati-hati semasa melaksanakan tugas membawa serta menghantar kanak-kanak ke sekolah atau kediaman.
Menurutnya, susulan kejadian itu, anaknya menerima jahitan di bahagian kepala yang berlubang sebesar saiz duit syiling lima sen serta beberapa bahagian lain di dahi serta dalam mulut.
“Dia (pemandu van) ada datang minta maaf dengan saya. Saya maafkan tapi saya terpaksa ambil tindakan. Kalau tak ambil tindakan, takut nanti anak orang lain jadi mangsa.
“Susulan kejadian ini, selain kepala belubang, beberapa gigi anak saya juga patah. Anak saya juga asyik merengek dan menangis serta sukar tidur sehinggalah pembedahan di kepala dilakukan di Hospital Tunku Azizah (HTA) oleh pakar,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ujarnya, anaknya itu dipindahkan ke HTA di Kuala Lumpur pada petang Selasa lalu bagi dirujuk kepada pakar pembedahan plastik susulan keadaan kepala anaknya itu.
Semalam media melaporkan seorang murid tabika cedera selepas dilanggar van sekolah dinaikinya di hadapan rumah Taman Mantau Indah 3, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian kepala dan calar-calar di bahagian kaki serta tangan.- KOSMO! ONLINE
The post ‘Pemandu van sekolah ada minta maaf dengan saya’ appeared first on Kosmo Digital.