Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Pasangan suami isteri diberikan tempoh tujuh hari membuat permohonan maaf susulan tindakan membuat tuduhan palsu terhadap murid lelaki darjah enam yang didakwa membuli rakan sekolahnya.
Peguam Hisyam Yusof mewakili keluarga Fatimah Lailati Omar berkata, pihaknya telah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Dr. Norsyazana Abdullah dan Hafiz Mohd. Noor pada Ahad lalu.
Katanya, LOD tersebut ekoran tindakan pasangan suami berkenaan telah menyebabkan anak kepada Fatimah telah mengalami depresi susulan buli siber itu.
“Permohonan maaf itu dibuat secara terbuka tanpa syarat terhadap Fatimah dan keluarganya yang diterbitkan dalam saluran sebelum ini (media sosial Norsyazana dan Hafiz).
“Mereka juga perlu menarik balik serta-merta kenyataan-kenyataan yang tidak betul dan berjanji tidak akan mengulanginya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau turut memberitahu, pihaknya juga menuntut ganti rugi ekoran kehilangan nama baik dan reputasi serta kos berkaitan trauma dialami anak guam dan keluarganya.
Namun, Hisyam menyatakan sehingga kini didapati mereka masih gagal melakukan semua yang diminta dalam LOD itu.
“Saya diarahkan kes sebenarnya, kedua-dua mereka itu telah menggunakan semua platform media sosial melakukan buli siber untuk menekan anak guam dan keluarganya.
“Sebab bila pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu tidak ikut apa yang mereka nak, jadi tindakan pun diambil melalui media sosial. Tekanan ini menyebabkan beri kesan kepada keluarga Fatimah,” katanya.
Tegasnya, beliau tidak mahu kes buli siber seperti pempengaruh TikTok dikenali Rajeswary atau Esha yang ditemui meninggal dunia berulang kembali.
“Kalau betul, ambillah tindakan undang-undang dan kenapa ingin dijadikan buli siber untuk kes itu.
“Bertalu-talu diviralkan dan ini sebenarnya menjadi kerisauan kepada fatimah, anak dan keluarganya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan pempengaruh mempunyai lebih kesedaran dan tidak sewenang-wenangnya menerbitkan identiti kanak-kanak.
“Kalau boleh berlaku kepada anak orang lain, anak kita pun boleh kena (juga menjadi mangsa buli siber,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Buli Siber: Doktor gigi, suami diberi tempoh 7 hari mohon maaf appeared first on Kosmo Digital.