Auto Added by WPeMatico

SEOUL – Pendakwa raya Korea Selatan menyoal siasat bekas Wanita Pertama, Kim Keon-hee hari ini berhubung pelbagai tuduhan, termasuk manipulasi saham dan rasuah.
Siasatan itu berlangsung ketika suaminya, bekas Presiden Yoon Suk-yeol, masih berada dalam tahanan susulan pengisytiharan undang-undang tentera pada Disember tahun lalu.
Pendakwa raya dijangka memohon waran tangkap ke atas Keon-hee selepas sesi soal siasat yang menurut mereka, bermula sejurus selepas pukul 10 pagi (waktu tempatan).
Sekiranya waran itu diluluskan, ia akan menjadi kali pertama dalam sejarah Korea Selatan seorang bekas Presiden dan Wanita Pertama ditangkap serentak.
Keon-hee dituduh bersekongkol dengan pedagang saham untuk menaikkan harga saham sebuah syarikat antara tahun 2009 hingga 2012.
Beliau juga didakwa menerima hadiah mewah, termasuk sebuah beg tangan berjenama bernilai AS$2,200 (RM9,301) yang melanggar undang-undang anti rasuah.
“Saya memohon maaf dengan ikhlas kerana menimbulkan kekacauan walaupun saya bukan orang penting. Saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan,” katanya sebelum memasuki pejabat pendakwa khas di Seoul.
Sesi soal siasat terhadap Keon-hee menarik perhatian besar media dengan wartawan tempatan mengikuti kenderaan yang dinaikinya semasa menuju ke pejabat pendakwa raya hari ini. – AFP
The post Bekas Wanita Pertama Korea Selatan disiasat kes rasuah appeared first on Kosmo Digital.