Auto Added by WPeMatico

![]()
SEGAMAT – Tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan atau kemalangan jiwa diterima setakat ini susulan gempa bumi di daerah ini pukul 7.55 malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi berkata, pihak berkuasa keselamatan serta agensi berkaitan kini menjalankan pemantauan lanjut.
Beliau yang juga Pegawai Daerah Segamat berkata, ini bagi memastikan keadaan di daerah ini kekal selamat terutama kepada orang awam. “Satu gegaran lemah pada magnitud 2.7 dilaporkan berlaku di daerah ini pada pukul 7.55 malam ini.
“Gegaran berkenaan dapat dirasai oleh penduduk di beberapa kawasan sekitar daerah ini dan kawasan berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan akan terus memantau keadaan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
Beliau meminta orang ramai bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih, sebaliknya mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti MetMalaysia dan agensi kerajaan lain.
“Orang awam digalakkan melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa,”tambah beliau.
JPBD Segamat ujarnya, akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.-KOSMO! ONLINE
The post Tiada kerosakan harta, kecederaan susulan gempa bumi di Segamat appeared first on Kosmo Digital.