Auto Added by WPeMatico

![]()
KULIM – Hanya kerana marahkan teman lelaki, seorang ibu dipercayai sanggup membunuh anak perempuannya sebelum bertindak mengambil nyawanya sendiri di sebuah rumah teres di Taman Perak di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, wanita berusia 30 tahun ditemui tergantung pada kipas siling di bilik tidur utama.
Manakala mayat anak perempuannya yang berusia empat tahun ditemui di atas tilam dalam bilik sama.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, siasatan awal percaya wanita berkenaan dipercayai menekup muka anaknya dengan bantal sebelum bertindak menggantung diri.
Katanya, mangsa dipercayai bertindak sedemikian akibat tekanan perasaan selepas kecewa dengan teman lelakinya yang didakwa mempunyai hubungan dengan wanita lain.
“Turut ditemui dua nota tulisan tangan yang ditampal pada akuarium yang mengandungi permohonan maaf serta luahan kecewa dengan masalah peribadi yang dihadapinya.
“Dalam nota itu, dia menyatakan tidak sanggup menanggung sakit hati dan mendakwa anak-anaknya tidak boleh tinggal dengan sesiapa menyebabkan dia bertindak membawa mereka bersama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zulkifli berkata, kejadian itu bagaimanapun disedari selepas seorang jiran terdengar jeritan anak lelaki mangsa berusia tujuh tahun yang turut menjadi mangsa, namun dia terselamat dan sempat meminta tolong jirannya.
“Jiran yang bergegas ke lokasi menemui wanita berkenaan tergantung di kipas siling sebelum menghubungi polis,” katanya.
Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut polis mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk atau unsur pencerobohan di rumah tersebut.
“Pemeriksaan terhadap kanak-kanak lelaki itu menemui kesan jerut pada leher dan lebam di bahagian rahang sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, polis turut menemui MyKad dan MyKid tiga beranak itu serta beberapa barangan peribadi termasuk kad ATM di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua beranak ditemukan maut dalam bilik, anak 7 tahun sempat lari appeared first on Kosmo Digital.