Auto Added by WPeMatico

![]()
KEMAMAN – Tiga pelajar sekolah menengah di daerah ini dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini setelah mengalami simptom dehidrasi dan keletihan selepas menyertai aktiviti merentas desa semalam.
Ketiga-tiga pelajar tersebut yang difahamkan dari dua sekolah menengah berasingan dikejarkan ke hospital pada kira-kira pukul 11 pagi setelah dikesan mengalami simptom disebabkan cuaca panas terbabit.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, ketiga-tiga pelajar terbabit kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas masing-masing menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Pengurusan sekolah telah mengambil tindakan segera mengejarkan semua pelajar terlibat ke hospital selain memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapa masing-masing.
“Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mereka hanya mengalami keletihan dan dehidrasi, bukanlah strok haba seperti didakwa netizen,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, tular klip video berdurasi 42 saat mendakwa tiga pelajar sekolah tersebut dikejarkan ke Hospital Kemaman akibat terkena strok haba sewaktu menyertai aktiviti merentas desa.
Kamsah berkata, seorang pelajar terlibat hanya menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala seorang lagi dimasukkan tiga botol air sebelum dibenarkan pulang sebagai pesakit luar.
Beliau berkata, seorang lagi pelajar terkesan pula kini dipindahkan ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan, Pahang atas permintaan ibu bapanya dan keadaannya sangat stabil. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga pelajar sekolah alami dehidrasi selepas merentas desa appeared first on Kosmo Digital.
