Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Permohonan mendapatkan laporan bedah siasat serta nota keterangan bilik kecemasan Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin terus daripada Hospital Kota Tinggi (HKT) dibantah dalam prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mewakili responden berkata, pihaknya membantah permohonan Ummu Haiman Bee Daulatgun yang merupakan ibu Allahyarham Syamsul Haris, lantas memohon kepada Mahkamah tempoh seminggu untuk memfailkan afidavit balasan.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh kemudian mengarahkan responden memfailkan afidavit balasan pada 26 Disember ini dan afidavit daripada pemohon pada 9 Januari depan.
Peguam yang mewakili Ummu Haiman, Muhamad Aiman Haziq Saiful Kamal memohon tarikh hujahan lisan ditetapkan atas bantahan yang dibuat responden.
Namun, Hakim Bhupinder Singh menyatakan prosiding hujahan lisan akan ditetapkan selepas kedua-dua pihak selesai memfailkan afidavit masing-masing.
Beliau kemudiannya meminta peguam menyatakan nas undang-undang dalam afidavit dan hujahan lisan bagi membolehkan mahkamah memerintahkan nota keterangan dan laporan bedah siasat diserahkan kepada pemohon.
Mahkamah menetapkan pada 19 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sebelum tarikh hujahan lisan diputuskan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Peguam keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan supaya Pengarah HKT menyerahkan laporan bedah siasat pertama dan nota keterangan bilik kecemasan hospital itu.
Menurut Peguam Datuk Naran Singh menegaskan ia supaya penyerahan dokumen itu dilakukan oleh pihak hospital sendiri, bukannya melalui pihak ketiga. – KOSMO! ONLINE
The post Kes Palapes UTM: Permohonan dapatkan laporan bedah siasat terus dari HKT dibantah appeared first on Kosmo Digital.