Auto Added by WPeMatico

BEKAS isteri penyanyi Ahmad Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, meluahkan rasa lega apabila urusan berpindah ke kediaman baharu bersama anak-anak berjalan lancar meskipun dilakukan dalam tempoh singkat dan penuh cabaran.
Ujarnya yang mesra disapa Dr. Fie segala persiapan terpaksa dipercepatkan memandangkan anak-anak akan bersekolah.
“Alhamdulillah, ketika itu memang semuanya perlu dibuat dengan cepat sebab anak-anak akan mula bersekolah pada 12 Januari. Jadi saya perlukan penyelesaian pantas.
Kami pula tak ada wang tunai banyak untuk urus pelbagai perkara serta melengkapkan rumah dalam masa singkat, termasuk persiapan sekolah anak.
“Saya fikir tak mengapa jika barang bukan baharu, asalkan boleh digunakan. Alhamdulillah, ramai pengikut di luar sana tampil membantu dan memudahkan urusan saya,” katanya kepada HibGlam.
Tambah doktor gigi itu, meskipun bukan mudah untuk menerima bantuan orang lain, dia mengakui segalanya berlaku atas aturan Ilahi.
“Sejujurnya, kalau boleh saya tak mahu terima barang percuma. Saya lebih selesa membayar, tetapi Allah mudahkan segalanya.
Urusan mendapatkan rumah juga dipermudahkan. Biasanya mana ada orang boleh masuk rumah dalam sehari dua, tetapi tiba-tiba semuanya jadi sangat cepat, betul-betul saat akhir.
“Walaupun tempoh singkat, rupanya semuanya boleh dilaksanakan,” ujarnya pada program Doa Dari Hati: Saat Jiwa Mencari Tenang, Tuhan Membuka Jalan, baru-baru ini.
Paling penting kata ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia bersyukur apabila anak-anaknya sudah mampu menjalani rutin harian dengan selesa meskipun proses mengemas kediaman baharu masih berjalan.
“Alhamdulillah, walaupun masih dalam proses mengemas rumah, anak-anak sudah selesa ke sekolah.
Allah juga kurniakan rezeki tak disangka apabila saya dapat kereta baharu. Saya benar-benar bersyukur kerana semua itu di luar jangkaan.
“Bagi saya, paling penting anak-anak dapat bersekolah dengan baik dan saya mampu beri terbaik untuk mereka. Allah beri lebih daripada apa diminta,” luahnya.
Terdahulu, menerusi perkongsian dalam media sosial, Dr Fie memaklumkan dia sudah berpindah ke kediaman baharu bersama anak-anak.
Dia turut memohon jasa baik orang ramai memaklumkan sekiranya mempunyai barangan terpakai seperti meja solek, permaidani, televisyen, kerusi dan meja makan untuk dilepaskan. – HIBGLAM