Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menzahirkan ucapan selamat Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-92 kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan di atas khidmat bakti serta pengorbanan para pegawai dan anggota ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Seri Paduka Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia turut mendoakan seluruh warga ATM sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah demi tanah air tercinta,” menurut hantaran berkenaan.
Dalam masa sama, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada pesara-pesara ATM yang pernah berkhidmat mencurahkan sumbangan mereka dalam pasukan.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda. – KOSMO! ONLINE
The post Yang di-Pertuan Agong zahir ucapan Selamat Hari ATM Ke-92 appeared first on Kosmo Digital.