Auto Added by WPeMatico

KEMAMAN – Pemeriksaan ke atas ‘kapal hantu’ yang sebelum ini hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A, perairan Terengganu, dekat sini, tidak menemukan sebarang bahan kimia berbahaya mahupun mangsa di dalamnya.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, pemeriksaan terhadap kapal tiga tingkat itu telah dilakukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Laut Bermuda pada pukul 3.30 petang.
“Pada mulanya, pasukan terbabit mengesan bau ‘mencurigakan’ di dalam kapal itu yang kemudiannya disahkan berpunca daripada bahan mentah yang telah rosak di dalam peti sejuk.
“Hasil pemeriksaan Hazmat JBPM menggunakan dua alat pengesanan berteknologi tinggi iaitu ‘four gas meter’ dan ‘gasmet’ juga mengesahkan kapal tersebut selamat daripada bahan kimia berbahaya,” katanya di Zon Maritim Kemaman, di sini hari ini.
Abdul Halim berkata, pemeriksaan selama sejam ke atas kapal berukuran 53.7 meter panjang dan 10 meter lebar itu juga tidak menemui sebarang mangsa.
Beliau berkata, kapal berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, APMM berjaya menunda ‘kapal hantu’ berkenaan ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), di sini dari Pelantar Semangkok A, sejauh kira-kira 259.28 kilometer pada pukul 11.30 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada mangsa, bahan kimia berbahaya dalam ‘kapal hantu’ appeared first on Kosmo Digital.