Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil mempertahankan jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou selepas Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengumumkan bakal mengambil tindakan tatatertib terhadap pemain itu.
Menerusi kenyataan di Instagram Story sebentar tadi, Hannah menegaskan penaja hadir untuk meraikan kejayaan atlet, bukan sekadar menaja MPM.
“Penaja hadir kerana mahu menyokong dan meraikan kejayaan atlet, bukan menaja MPM sahaja,” tulisnya.
Beliau turut menyifatkan Liek Hou sebagai atlet rajin yang sentiasa mengharumkan nama negara setiap kali beraksi di pentas dunia.
“Ini bukan cara kita melayan atlet yang telah mengangkat nama Malaysia. Liek Hou seorang atlet yang rajin dan setiap kali bertanding membawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya.
Menurut Hannah, Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin, sebaliknya hanya menuntut apa yang dijanjikan selepas setahun meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.
“Ini bukan isu disiplin tetapi berpunca daripada kelewatan MPM sendiri,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, Liek Hou berada di bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan sepenuhnya dibiayai Majlis Sukan Negara (MSN).
“Apa-apa keputusan mengenai kedudukan Liek Hou bukan di tangan MPM semata-mata. MPM tidak berhak bertindak sendiri,” tegasnya.
Terdahulu, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharudin menegaskan Liek Hou bakal berdepan tindakan tatatertib termasuk penggantungan selepas mengkritik isu penajaan dan ganjaran RM60,000 yang didakwa belum ditunaikan. KOSMO! ONLINE
The post Hannah Yeoh pertahan Liek Hou, persoal tindakan MPM appeared first on Kosmo Digital.