Auto Added by WPeMatico

SEOUL – Mahkamah tertinggi Korea Selatan hari ini memutuskan bahawa lagu kanak-kanak popular Korea Selatan dan seluruh dunia, Baby Shark tidak diplagiat sekali gus menolak tuntutan hak cipta yang difailkan seorang komposer berpangkalan di Amerika Syarikat.
Dengan lirik yang menarik, video muzik Baby Shark Dance itu mencatatkan tontonan tertinggi di laman perkongsian video YouTube, dengan lebih 16 bilion tontonan, kira-kira dua kali ganda berbanding Despacito yang menduduki tempat kedua dan Wheels on the Bus di tempat ketiga.
Pada 2019, komposer New York dikenali sebagai Johnny Only atau nama sebenarnya, Jonathan Wright memfailkan saman di Seoul, mendakwa lagu popular terbitan syarikat permulaan pendidikan Korea Selatan, SmartStudy itu meniru lagunya yang diterbitkan pada 2011.
Only menuntut pampasan 30 juta won (RM90,979), menuduh SmartStudy meniru elemen karyanya, termasuk bes dan irama.
SmartStudy yang kemudian dikenali sebagai The Pinkfong Company, berhujah bahawa versinya adalah adaptasi daripada lagu kanak-kanak klasik Amerika Utara yang tidak dilindungi oleh hak cipta.
Mahkamah rendah Korea Selatan memihak kepada The Pinkfong Company dalam perbicaraan pada 2021 setelah mendapati tiada bukti mencukupi untuk kesalahan pelanggaran hak cipta.
Keputusan itu dikekalkan oleh mahkamah rayuan pada 2023.
Only kemudian mencabar keputusan pada 2023 itu tetapi Mahkamah Agung Korea Selatan mengesahkan keputusan mahkamah rayuan hari ini.
“Semua rayuan ditolak dan keputusan mahkamah lebih rendah dikekalkan,” demikian menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh AFP.
The Pinkfong Company berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa keputusan Mahkamah Agung mengesahkan Baby Shark adalah ‘berdasarkan lagu nyanyian tradisional yang telah memasuki domain awam’.
Syarikat itu berkata, pihaknya memberikan ‘sentuhan segar kepada lagu itu dengan menambah irama rancak dan melodi menarik, menjadikannya ikon budaya pop hari ini’.
Only tidak segera membalas permintaan AFP untuk ulasan. – AFP
The post Baby Shark hak Korea, bukan komposer Amerika appeared first on Kosmo Digital.