Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Pemilik akaun Facebook ‘Hafiz Sahidi’ hari ini mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam satu hantaran di Facebook, Muhammad Hafiz Sahidi merujuk kepada satu hantaran yang dimuat naik pada 23 Oktober lalu berhubung isu sekolah pondok.
Individu tersebut mengakui kenyataannya sebelum ini adalah tidak benar, salah serta tidak menepati fakta sebenar.
“Kenyataan saya yang membayangkan seolah-olah Menteri mengarahkan penutupan sekolah-sekolah pondok di Kelantan dan Kedah adalah tidak benar, salah dan tidak menepati fakta sebenar.
“Saya kini faham bahawa berita sebenar adalah penafian daripada pihak Menteri sendiri mengenai isu tersebut, dan saya telah tersilap lapor fakta tersebut,” katanya.
Hafiz turut memaklumkan bahawa beliau telah memadam hantaran berkenaan sebaik mendapati sumber asal gambar tersebut daripada Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia turut diturunkan.
“Penggunaan bahasa saya terhadap Datuk Mohd Na’im Mokhtar, khususnya perkataan menghina, adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak berasas sama sekali.
“Oleh yang demikian, saya dengan ikhlas dan tanpa syarat menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut,” katanya.
Dalam kenyataannya juga, Hafiz juga merayu agar tiada sebarang tuntutan kewangan dikenakan terhadapnya.
“Saya hanyalah orang kampung biasa, berpendapatan kecil, tidak tetap dan mempunyai tanggungan keluarga yang ramai.
“Tindakan saya menulis hantaran tersebut adalah kerana terpengaruh dengan emosi dan maklumat tidak sahih, tanpa niat jahat terhadap sesiapa,” ujarnya.
Lelaki itu turut menzahirkan rasa kesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan serupa terhadap Mohd. Na’im pada masa akan datang.
Terdahulu, Mohd. Na’im mengemukakan surat tuntutan (Letter Of Demand) sebanyak RM10 juta terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook yang didakwa membuat dakwaan berunsur fitnah mengenai penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.
Berdasarkan surat tuntutan yang dikeluarkan oleh firma guaman Akberdin & Co. kepada pengguna laman sosial yang dikenali sebagai ‘Hafiz Sahidi’, peguam Na’im berkata, kenyataan dibuat lelaki berkenaan yang menuduh menteri mengarahkan penutupan sekolah pondok tidak berdaftar adalah palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah.
Mohd. Na’im berkata apa dilakukan oleh kerajaan membabitkan sekolah pondok adalah sebaliknya, tidak seperti yang didakwa.
Beliau berkata, Kerajaan Madani malah bersungguh-sungguh membangunkan sekolah-sekolah institusi pondok dan ia antara agenda terpenting Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita telah lihat pelbagai perbincangan dan Perdana Menteri menyantuni tuan-tuan guru sekolah pondok. Jadi apa yang dituduh langsung tidak berasas,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Hafiz Sahidi mohon maaf kepada Mohd. Na’im, rayu tidak disaman RM10 juta appeared first on Kosmo Digital.