Auto Added by WPeMatico

![]()
BACHOK – Hafiz al-Quran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok di sini mencipta sejarah apabila muncul antara pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Kelantan selepas memperoleh keputusan 12A+.
Muhammad Izz Darwisy Zamani, 18, turut dinobatkan sebagai pelajar nombor satu Kelantan dengan keputusan cemerlang tersebut.
Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Taman Guru 2, Tanah Merah itu berkata, kejayaan tersebut tidak pernah disangka kerana sebelum ini dia tidak terlalu menonjolkan diri sebagai calon berpotensi memperoleh keputusan tertinggi.
“Saya hanya fokus belajar secara konsisten terutama bermula pertengahan tahun selain memperbanyakkan doa dan solat tahajud sebelum memulakan ulang kaji setiap pagi.
“Sepanjang minggu peperiksaan, saya dan rakan-rakan calon SPM turut sepakat membaca surah Yasin bersama-sama bagi memohon keberkatan dan ketenangan,” katanya ketika ditemui SMKA Tok Bachok di sini hari ini.
Muhammad Izz memberitahu, dia berjaya mendapat gred cemerlang tertinggi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran.
Menurutnya, teknik hafazan yang diamalkan sejak kecil turut membantu dalam mengingati pelajaran akademik.
“Saya menggunakan kaedah pengulangan hafazan al-Quran untuk mengingati fakta pelajaran. Cara itu sangat membantu terutama ketika membuat ulang kaji,” ujarnya.
Muhammad Izz yang khatam hafazan al-Quran sejak tingkatan tiga juga menguasai beberapa bahasa termasuk Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, selain mempunyai minat dalam permainan catur dan ping pong.- KOSMO! ONLINE
The post SPM 2025: Hafiz al-Quran pelajar terbaik di Kelantan appeared first on Kosmo Digital.
