Auto Added by WPeMatico

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji aksi cemerlang dipamerkan pasukan itu ketika menewaskan seteru setempat, Manchester United 3-0 di Etihad awal pagi semalam.
Bagaimanapun, prestasi penggempur utamanya, Erling Haaland berjaya memikat perhatian Guardiola yang menganggap dia adalah pemain yang cukup istimewa selepas meledak dua gol selepas Phil Foden membuka tirai jaringan.
“Erling tidak pernah mengecewakan kami sejak tiba di sini. Dia memberikan komitmen dan sebab itulah kami memberikannya kontrak yang cukup panjang. Dia adalah pemain yang istimewa,” katanya.
Haaland mengharungi separuh bulan September yang cukup sempurna apabila meledak enam gol bersama pasukan kebangsaan Norway dalam dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 sebelum meneruskan prestasi terbaik di Etihad pada aksi kali ini.
Pengendali dari Sepanyol itu turut memberikan kredit kepada pemain tengahnya, Foden yang semakin hampir untuk kembali menemui prestasi terbaik selepas dianggap menjadi tonggak penting City pada perlawanan berkenaan.
“Kami sangat merindui prestasi Foden seperti ini, dia memainkan peranan yang besar di belakang penyerang terutama kelebihannya mengawal dan menyimpan bola. Inilah Foden yang sebenar apabila dia bebas daripada kecederaan dan cergas,” ujarnya.
Selain itu, perlawanan tersebut juga menjadi aksi debut untuk penjaga gol baharu City, Gianluigi Donnarumma yang tidak mengambil masa lama untuk mengundang pujian pengurus dan para peminat The Citizens.
Donnarumma dilihat tidak berdepan cabaran hebat sepanjang perlawanan berkenaan, namun percubaan menerusi rembatan lencong Bryan Mbeumo membuktikan dia adalah penjaga gol berkelas dunia dan dianggap pengganti tepat buat Ederson. – AGENSI
The post EPL: The Citizens dominan kuasai derbi Manchester appeared first on Kosmo Digital.