Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang sengaja menggugat keharmonian, keamanan dan keselamatan di negara ini.
Perdana Menteri berkata, tempoh untuk amaran atau teguran sudah berakhir demi menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam keadaan yang tidak diinginkan.
Menurutnya, beliau juga mahu isu semasa seperti kematian arwah Zara Qairina Mahathir dan isu Jalur Gemilang tidak dijadikan agenda besar oleh segelintir pihak.
“Saya ingin jelaskan di sini, dari hal sebesar seperti kematian anak kita, Zara di Sabah kepada isu Jalur Gemilang. Semua ini menjadi agenda untuk menghangatkan suhu.
“Justeru, saya menggesa dan beri arahan jelas kepada badan penguatkuasaan. Saya ingin tegaskan…sudah, masa amaran (sudah berakhir) dan orang sudah mual,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut isu Zara Qairina, Anwar berkata, beliau mahu semua pihak menghormati dan menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak penguatkuasa.
“Ini belum apa-apa, dah sudah tudingan (tuding-menuding. Anak VVIP ini, orang ini. Kita ini siapa? (Kalau begitu) Tutup saja pejabat-pejabat polis semua. Kalau dah semua keputusan kita boleh buat tanpa siasat.
“Jadi harus ada siasatan segera, telus, adil dan terbuka. Jangan pakai hukum sembrono. Tak layak jadi seorang tokoh kalau hanya terus menghukum, tanpa apa-apa fakta. Tidak mungkin kita pertahankan sistem yang aman, baik dan maju, kalau tak dapat selesaikan masalah ini. Ikut jalur hukum,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post ‘Masa amaran sudah berakhir, tindakan tegas akan diambil’ appeared first on Kosmo Digital.