Auto Added by WPeMatico

KANGAR – Pembersihan cat pada dinding Gua Cenderawasih akan dilaksanakan secara berperingkat dan berhati-hati tanpa menjejaskan fosil serta struktur geologi yang bernilai tinggi di kawasan itu.
Langkah tersebut merupakan antara penyelesaian utama yang dicapai selepas Mesyuarat Jawatankuasa Saintifik dan lawatan tapak ke gua berkenaan pada 11 Jun lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Perlis Geopark, Abu Bakar Hamzah, pihaknya komited memastikan sebarang kerja pembersihan dilakukan dengan penuh teliti mengikut standard saintifik dan konservasi.
“Kita bercadang akan menanggalkan cat di dinding dan struktur gua menggunakan air dan berus khas tanpa menyentuh atau merosakkan sebarang tinggalan fosil.
“Kerja-kerja ini dilaksanakan bersama kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Kangar, Jabatan Mineral dan Geosains serta beberapa pihak lagi yang mempunyai kepakaran bagi memantau proses pembersihan secara berperingkat,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Perlis Geopark peringkat negeri di kompleks tersebut yang turut disertai pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, struktur binaan yang telah wujud di dalam kawasan gua turut akan dialihkan demi menjamin keselamatan pengunjung dan kestabilan geotapak.- KOSMO! ONLINE
The post Gua Cenderawasih dicat akan dibersihkan appeared first on Kosmo Digital.