Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kumpulan ketiga delegasi Malaysia bagi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) mula berlepas hari ini bagi menyertai gerakan antarabangsa ke Gaza yang dijadual bermula pada 12 April depan.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik Sumud Nusantara di Instagram, ahli keluarga delegasi terbabit dilihat sempat berpelukan dan menzahirkan doa serta sokongan sebelum mereka berlepas.
“Kumpulan ketiga GSF juga sudah berlepas hari ini. Tarikh pelayaran semakin hampir. Doakan keselamatan semua delegasi Malaysia dan kelancaran misi,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Seperti diumumkan sebelum ini, identiti delegasi kumpulan ketiga masih dirahsiakan, namun kehadiran Ahmad Faezal Mohd. Shariff dapat dilihat dalam kumpulan kali ini.
Beliau sebelum ini diumumkan sebagai antara peserta Malaysia untuk misi berkenaan.
Ahmad Faezal dikenali sebagai pempengaruh serta penulis dalam bidang analisis geopolitik, selain menjadi calon pertama yang dipilih menyertai pelayaran tersebut bersama misi Sumud Nusantara.
Sebelum ini, kumpulan pertama Sumud Nusantara telah berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 April lalu, dengan identiti peserta dirahsiakan atas faktor keselamatan dan maslahah lebih besar.
Kumpulan itu membabitkan persiapan awal termasuk kapten, kelasi serta juruteknik bot yang akan membantu operasi di beberapa pelabuhan Eropah.
Perkembangan terkini turut menunjukkan kumpulan kedua sudah mula berlepas, manakala Ahmad Faezal disebut antara peserta Malaysia yang terlibat dalam gelombang seterusnya ke lokasi misi.
GSF 2.0 merupakan gerakan antarabangsa tanpa kekerasan yang menghimpunkan delegasi pelbagai negara bagi mencabar kepungan ke atas Gaza, menghantar bantuan kemanusiaan dan mewujudkan koridor bantuan awam secara berterusan.
Menurut laman rasmi gerakan itu, misi musim bunga 2026 akan menghimpunkan lebih 80 bot dan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia, dengan pelayaran utama dari Barcelona pada 12 April.
Di Malaysia, misi tersebut turut mendapat perhatian apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, diamanahkan mengetuai delegasi bantuan Malaysia, yang membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin. – KOSMO! ONLINE
The post Sumud Flotilla 2.0: Ahmad Faezal sertai kumpulan ketiga berlepas hari ini appeared first on Kosmo Digital.
