Auto Added by WPeMatico

LONDON – Perlumbaan Formula Satu (F1) dijangka menambah jumlah saingan pecut daripada enam kepada 10 pusingan semusim seawal 2027 berikutan sokongan semakin meningkat daripada penganjur, pasukan dan peminat.
Format pecut diperkenalkan sejak 2021 bagi menambah tarikan penonton hujung minggu Grand Prix dengan lebih banyak aksi kompetitif untuk tontonan di litar mahupun televisyen.
Bermula dengan tiga pusingan, jumlah itu dinaikkan kepada enam sejak 2023 dengan formatnya turut beberapa kali diubah suai bagi mengatasi kritikan awal.
Sokongan terhadap format tersebut terus bertambah, terutama daripada penganjur yang melihatnya sebagai nilai tambah untuk peminat.
Pengasas bersama Litar Americas (COTA), Bobby Epstein berkata, meskipun ia tidak melonjakkan jualan tiket secara ketara, perlumbaan pecut jelas memberi pengalaman lebih berbaloi kepada penonton.
“Saya rasa ia memberikan lebih nilai kepada tiket. Peminat nampaknya semakin menerima format ini. Ia meningkatkan hiburan sepanjang hujung minggu dan kami sentiasa menghargai perkara itu,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi penganjur GP Miami, Tyler Epp yang mengakui perlumbaan pecut menyaksikan peningkatan ketara jumlah penonton pada Sabtu sejak diperkenalkan.
Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali pula mengesahkan permintaan untuk menganjurkan lebih banyak saingan pecut semakin tinggi, bukan sahaja daripada penganjur malah dalam kalangan pelumba. – AGENSI
The post F1 tambah perlumbaan pecut appeared first on Kosmo Digital.