Auto Added by WPeMatico

![]()
SEPANG – Masalah yang membelenggu Francesco ‘Pecco’ Bagnaia sepanjang musim lalu akhirnya dapat diatasi apabila pelumba Ducati itu mengakui sudah mula serasi dengan pakej jentera GP26 pada sesi ujian rasmi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Juara dunia itu berharap agar jentera baharu ini mampu menyelesaikan isu teknikal yang dialaminya dan kini lega apabila ia menunjukkan hasil positif seawal hari pertama ujian kelmarin.
Jelasnya, perbezaan paling ketara pada model GP26 adalah kemampuan jentera untuk membrek dengan lebih baik terutama ketika memasuki selekoh dan masalah itu paling kritikal yang sering dibangkitkannya pada kempen 2025.
“Sebaik sahaja bermula, saya terus dapat rasakan perbezaannya terutamanya ketika membrek. Saya perlu berterima kasih kepada Ducati kerana mendengar maklum balas dan membantu saya menemui pelarasan tepat ini,” katanya semalam.
Bagnaia mengakui perasannya bersama jentera kali ini berjalan lancar dan menyifatkan jentera 2026 ini jauh lebih selesa berbanding versi tahun lalu.
Selain enjin dan casis, pelumba Itali itu turut menguji pakej aerodinamik (fairing) serta peranti ‘ride height device’ baharu yang disifatkannya berfungsi dengan lebih baik walaupun catatan masa yang direkodkan setara dengan komponen lama.
Mengulas mengenai perancangan seterusnya di Sepang, Bagnaia memaklum akan memberi tumpuan kepada simulasi perlumbaan pecut bagi menguji ketahanan jentera dalam situasi perlumbaan sebenar.
“Kami ada dua hari lagi. Esok (hari ini) kami mungkin akan cuba simulasi perlumbaan, manakala hari ketiga nanti baru kami akan lakukan serangan masa (time attack). Paling penting adalah mencuba pelarasan baharu untuk melihat keberkesanannya,” jelasnya.
The post MotoGP: Pecco lega GP26 sempurna appeared first on Kosmo Digital.