Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Tiga daerah di Selangor merekodkan jumlah miskin bandar tertinggi yang memerlukan keperluan zakat dalam membantu meringankan golongan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Khaidzir Shahari berkata, ini merangkumi Gombak, Klang dan Petaling dengan sumbangan zakat dapat digunakan termasuk untuk pembangunan komuniti.
Katanya, kutipan zakat diperoleh juga memastikan sasaran tahunan LZS dapat dicapai bagi melaksanakan pelbagai program bantuan sewajarnya.
“Seramai 335,499 pengeluar zakat di Selangor termasuk pembayar individu serta syarikat korporat direkodkan sehingga Oktober tahun ini.
“Kutipan keseluruhan bagi tempoh sama adalah berjumlah kira-kira RM827 juta yang seterusnya membolehkan kami membuat agihan sebanyak RM1.04 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) 2025 di sini, hari ini.
Justeru itu, Mohd. Khaidzir berharap lebih ramai individu dan syarikat korporat tampil membayar zakat bagi membolehkan baki sasaran kutipan zakat lebih RM300 juta dapat diperoleh sebelum tamat tahun ini.
“Insya-Allah, kita tetap optimis sasaran RM1.328 billion mampu dicapai dengan LZS kini giat melakukan promosi daripada pelbagai platform termasuk menarik pembayar zakat baharu,” tegasnya.
Terdahulu, sebanyak 56 buah syarikat tampil membuat bayaran zakat berjumlah RM22.15 juta dengan Syarikat Dherbs Holdings Sdn. Bhd. menjadi pembayar terbesar zakat perniagaan terbesar sebanyak RM2 juta dan diikuti Open University Malaysia (RM1,512,614) dan Afed Holdings (RM1,465,000).
Dalam pada itu, pengasas Wawa Global Sdn. Bhd., Aeril Zafril menekankan kepentingan pembayaran zakat bagi individu dan syarikat yang layak kerana menjadi kewajipan dan boleh menjadi dosa jika diabaikan. – KOSMO! ONLINE
The post Gombak, Klang, Petaling catat miskin bandar tertinggi appeared first on Kosmo Digital.