Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Tempoh pelantikan Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dari 15 Ogos 2024 hingga 14 Ogos 2026 dipendekkan kepada esok, selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Srti Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pemendekan tempoh perkhidmatan Maimunah adalah bagi memberi ruang kepada beliau untuk ditempatkan di salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan gergasi nasional yang diberi peranan untuk membangunkan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur.
Menurutnya, keputusan ini mengambil kira keperluan perkhidmatan, kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari terutama ketika menerajui UN-Habitat sebagai Pengerusi Eksekutif.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau telah meletakkan tanda aras kepimpinan tinggi dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan DBKL berteraskan amalan tadbir urus berintegriti, cekap dan berkesan.
“DBKL telah berjaya mencatat lebihan semasa sebanyak RM27.6 juta pada tahun 2024 berbanding defisit sebanyak RM75.3 juta pada tahun 2023 dan RM283 juta pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsul Azri berkata, lonjakan sebanyak 137 peratus pada tahun 2024 mencerminkan kepimpinan transformatif beliau dengan penekanan kepada langkah-langkah penambahbaikan tadbir urus kewangan yang berteraskan amalan pengurusan perbelanjaan berhemah, cekap dan strategik.
“Di samping itu, beliau berjaya meletakkan DBKL di mata dunia dengan inisiatif pengantarabangsaan Kuala Lumpur serta menjalin kerjasama strategik dengan UNICEF melalui Program Cash Plus dan Child-Friendly City Initiatives.
“Selain itu, kejayaan penganjuran ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) serta Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capital Cities (MGMAC) sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata, Maimunah juga mencetuskan pelbagai program berteraskan bandar hijau dan mampan bagi menzahirkan komitmen ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar karbon sifar, berdaya huni dan berdaya tahan iklim melalui Inisiatif Sifar Sisa, Inisiatif Lingkaran Hijau, Program Daya Tahan Iklim Bandar (Urban Climate Resilience Program–UCRP) dan sebagainya.
Katanya, atas kecemerlangan menerajui DBKL, Maimunah mencipta legasi dengan pelbagai anugerah individu berprestij sama ada diperingkat domestik mahupun antarabangsa.
Antaranya Anugerah Kepimpinan Public Relation and Communication Association of Malaysia (PCRA) 2024, Anugerah Nona Superwoman Award 2024, Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik (Bandaraya) sempena Anugerah Kecemerlangan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2025, Anugerah ‘Women of the decade’ sempena Women Economic Forum (WEF) ASEAN 2025 dan kemuncaknya apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Leadership Award 2025 daripada Fira de Barcelona di World Smart City Expo 2025.
Shamsul Azri berkata, berdasarkan kejayaan dan keunggulan kepimpinan tersebut, kerajaan percaya dengan penempatan baharu itu, beliau akan dapat memastikan projek mercu tanda Bandaraya Kuala Lumpur dapat direalisasikan dengan sempurna dan memenuhi hasrat serta aspirasi Madani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada beliau atas segala jasa dan bakti serta legasi unggul yang dicipta dalam membawa nama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ke satu tahap yang amat membanggakan sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan Datuk Bandar.
“Tahniah jua diucapkan dan selamat maju jaya di atas pelantikan baharu di syarikat berkaitan kerajaan. Semoga beliau akan meneruskan momentum kecemerlangan untuk mengemudi organisasi baharu berteraskan nilai dan prinsip Madani untuk manfaat rakyat dan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Datuk Bandar KL dilantik di syarikat berkaitan kerajaan appeared first on Kosmo Digital.