Auto Added by WPeMatico

PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan bersedia menjual penjaga gol utama mereka, Gianluigi Donnarumma pada jendela perpindahan ketika ini bagi mengelak insiden ‘kehilangan percuma’ seperti yang berlaku kepada Kylian Mbappe sebelum ini.
Menurut laporan akhbar Perancis, L’Equipe, pengurusan PSG kecewa selepas Donnarumma enggan menandatangani kontrak baharu memandangkan perjanjian sedia ada hanya berbaki dua tahun sebelum tamat pada 2026.
Situasi itu telah mencetuskan minat beberapa gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk Manchester United, Manchester City dan Chelsea yang kini mula memantau perkembangan penjaga gol Itali tersebut.
PSG tidak mahu mengulangi kesilapan melepaskan Mbappe secara percuma ke Real Madrid musim lalu dan kini mahu ‘mencairkan aset’ mereka secepat mungkin untuk mengelakkan kerugian besar.
Sekiranya Donnarumma memilih pulang ke Serie A, Juventus dan Inter Milan antara pilihan utama, namun England menjadi destinasi lebih realistik buatnya berdasarkan keupayaan kewangan kelab-kelab EPL.
Dalam masa sama, PSG sudah mengenal pasti pengganti Donnarumma apabila berjaya mencapai persetujuan peribadi dengan penjaga gol muda Lille, Lucas Chevalier, 23, yang dianggarkan mencecah £35 juta (RM198.46 juta).
Kehadiran Chevalier bakal membuka ruang buat Donnarumma mempertimbangkan masa depannya meskipun sebelum ini menyatakan keinginannya untuk kekal di Parc des Princes.
Skuad kendalian Luis Enrique itu akan membuka tirai musim baharu menentang Tottenham Hotspur pada 13 Ogos ini dalam perlawanan final Piala Super Eropah. – AGENSI
The post PSG enggan hilang Donnarumma percuma appeared first on Kosmo Digital.