Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Belia merupakan aset paling berharga untuk negara dan mereka bukan sahaja menjadi pewaris masa hadapan, malah turut menjadi penggerak perubahan masa kini.
Mereka wajar diberi peluang untuk mengambil peranan dalam kepimpinan dengan lebih awal, jadi pendirian kerajaan untuk menurunkan had umur belia kepada 30 tahun bermula 1 Januari 2026 dilihat tepat pada masanya.
Majlis Belia Daerah Seberang Perai Tengah antara yang menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan tersebut.
Ketua Penerangannya, Mohd. Nazirullah Nordin berkata, had umur baharu itu akan membuka peluang kepada generasi muda untuk mengambil peranan kepimpinan lebih awal.
“Ia sejajar dengan keperluan regenerasi kepimpinan dalam pertubuhan belia, masyarakat sivil dan politik.
“Ini memperkukuh budaya demokrasi dan keterlibatan belia dalam membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohd. Nazirullah menjelaskan, takrif umur belia bawah 30 tahun adalah bertepatan dengan definisi yang diguna pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan UNESCO.
“Mereka mentakrifkan belia sebagai individu berumur 15 hingga 24 tahun, manakala beberapa negara meletakkan had maksimum sehingga 29 tahun.
“Pelaksanaan had umur ini menunjukkan kesediaan Malaysia untuk menyesuaikan dasar belia mengikut amalan global,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa ketetapan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun hadapan adalah selaras pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).
Ketika ini, had umur bagi belia di Malaysia ialah sehingga 40 tahun.
Dalam pada itu, Majlis Belia Daerah Tampin turut menyatakan pendirian bahawa mereka telah bersedia dan menerima dengan terbuka penurunan had umur belia kepada 30 tahun.
Ketua Penerangannya, Amir Hidayat Nazry Muhammad berkata, langkah ini selaras dengan hasrat memperkasa kepimpinan belia supaya lebih segar, progresif dan responsif terhadap cabaran semasa.
Menurutnya, ia membuka ruang kepada lebih ramai golongan muda bawah 30 tahun untuk tampil ke hadapan, membina keyakinan dan memimpin perubahan.
“Tujuan utama pindaan ini adalah untuk memperkasa penyertaan dan peranan belia dalam pembangunan negara.
“Kami berpandangan bahawa perubahan ini adalah peluang untuk memperkukuh peremajaan organisasi, ia bukanlah satu bentuk ancaman.
“Generasi pelapis mesti diberi ruang, bimbingan dan latihan, agar mampu memimpin dengan yakin dan berkesan,” katanya.
Tambahnya, mereka komited untuk terus menyokong dasar kerajaan dalam melahirkan barisan kepimpinan belia yang berkualiti, berprinsip dan bersedia membawa negara ke hadapan. – KOSMO! ONLINE
The post Penurunan had umur belia sediakan peluang generasi muda memimpin appeared first on Kosmo Digital.